Penemuan dan Analisis Utama Kebebasan Seni di Malaysia untuk Projek Southeast Asia Artistic Freedom RADAR.
Dari Babi ke Sarung Kaki: Bagaimana Semuanya Ditapis di Malaysia
Pengenalan
Sejak awal 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang baru dilantik ketika itu, cukup jelas dalam nada kenyataannya bahawa kerajaan Malaysia “tidak akan sekali-kali mengiktiraf sekularisme, komunisme, LGBT.” Beliau kini sudah memasuki tahun ketiga di tampuk pemerintahan di mana dinamika kebebasan seni dan budaya di Malaysia terus menjadi medan tandingan yang cukup berbelit dibentuk oleh pertembungan etnoagama yang tidak menentu serta mengakarnya ia dalam fabrik sosiopolitik Malaysia sejak sekian lama. Apabila Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Harapan untuk mencapai kemenangan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia pada 2022, ia ditanggap oleh banyak pihak sebagai titik perubahan, bagi menghidupkan semula harapan untuk pembaharuan dan kebebasan demokrasi yang lebih luas terutamanya selepas bertahun-tahun hanyut dek ketidakstabilan politik serta kecenderungan autoritarian. Namun, keyakinan awal ini akhirnya direncatkan oleh gabungan politik ‘tangkap muat’, agenda reformasi yang tertangguh, serta cengkaman berterusan oleh institusi konservatif.
Proses pengkaryaan terus dihalang menggunakan bermacam kaedah, yang dilakukan oleh pelbagai entiti berbeza. Mendasari 50 kes yang dikumpulkan dari 2023–2024, wacana penapisan yang berlaku menonjolkan wujudnya ketegangan antara pelaku dan entiti melibatkan negara dan bukan-negara, pengawalan moral dan kebimbangan sosial.
Ia memberikan sudut pandang serta nuansa penting akan corak penapisan yang wujud serta cabaran yang dihadapi dalam kebebasan berkarya, khususnya melibatkan kaedah penapisan, jenis kandungan yang ditapis, pelaku yang terlibat serta kesan sosio-politik yang meluas.
Tinjauan Kes
Data 2023-2024 merangkumi 50 kes yang didokumentasikan melibatkan kebebasan berkarya. Data tersebut membezakan jenis sasaran melibatkan karya seni atau acara, serta pencipta atau penyampai. Dalam 35 kes, sasaran menumpukan kepada karya seni sahaja. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, purata kes yang direkodkan adalah lebih tinggi melibatkan 25 kes setiap tahun, berbanding set data 12 tahun terdahulu (sekitar 18+ kes setiap tahun). Kes-kes yang ada meliputi pelbagai bentuk seni dan budaya—seni visual, persembahan, dan media digital antara lain—turut menampilkan bentuk pengawalan seni budaya yang lebih meluas yang wujud sepanjang dekad.
Perlu diketengahkan bahawa bentuk seni dan budaya yang biasa terkesan seperti filem (12 kes), penerbitan (12 kes) dan muzik (9 kes) terus disasarkan, manakala dua lagi bentuk pengkaryaan juga turut terdampak – melibatkan reka bentuk dan warisan – dengan 6 kes dicatatkan bagi setiap kategori. Contoh dalam dua kategori terakhir melibatkan kes seperti pinggan mangkuk bertemakan reka bentuk Komunis, koleksi jam tangan Swatch’s Pride, hidangan berasaskan babi dalam menu tradisional serta larangan daripada pihak berkuasa agama yang menghalang penglibatan masyarakat Melayu-Islam dalam acara tarian Joget Lambak.
Menariknya, kedua-dua pelaku dan entiti yang melibatkan negara dan bukan-negara, turut terlibat sama dalam langkah awal menapis karya, melibatkan 25 kes setiap satu. Kebanyakan kejadian terdiri daripada satu kaedah pembungkaman seperti serbuan, larangan, aduan awam, ugutan undang-undang atau saman daripada Mahkamah Anak Negeri—dengan 27 kes jatuh dalam kategori ini. Dalam 15 kes lain, kaedah pembungkaman melangkaui dua kaedah, selalunya melibatkan gabungan beberapa tindakan. Paling menonjol, semakin banyak kes menunjukkan campur tangan daripada pelaku dan entiti bukan-negara, termasuk oleh netizen, kelompok politik sayap kanan serta pihak berkuasa agama yang secara strategik memulakan atau menguar-uarkan penapisan karya dalam bentuk protes, aduan, tuduhan dan seruan untuk memboikot.
Meneruskan perkembangan yang sama sejak sedekad lalu, badan kawal selia seperti Lembaga Penapis Filem, Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan majlis perbandaran kekal sebagai pelaku penapisan berasaskan negara yang paling aktif, melibatkan 10 kes dalam tempoh dua tahun. Organisasi pendidikan seperti universiti dan badan pemikir akademik juga turut aktif campur tangan dalam proses kawalan (5 kes), misalnya ketika pesta buku dan berlangsungnya seminar akademik. Di sini, kita boleh melihat wujud tekanan langsung dan tidak langsung yang digunakan melalui proses birokrasi atau garis panduan yang tidak jelas.
Tema dan Kandungan Yang Disasarkan
Majoriti kes sejak dua tahun lalu berkait tema seputar ‘Agama, moral, tradisi’ melibatkan 33 kes dan ‘Politik’ dengan 6 kes. Di sini, 12 kes dinyatakan secara jelas termaktub di bawah undang-undang dan peraturan tertentu manakala 38 kes yang lain tidak. Sekaligus, ia menonjolkan bentuk penapisan yang sewenang-wenang dan samar di Malaysia. Walau bagaimanapun, adalah wajar untuk menyatakan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta Akta Penapisan Filem 2002, terus digunakan secara meluas sejak dua tahun lalu.
Dengan 32 kes disasarkan selepas karya siap, ia turut menonjolkan trend menarik di mana wujudnya cabaran ‘retrospektif’ kepada beberapa karya yang telah diedarkan secara terbuka selama lebih daripada setahun (11 kes). Beberapa contoh penting termasuk rampasan 8 buah penerbitan berbahasa Cina dari kedai buku Gerakbudaya dan kontroversi melibatkan judul seperti Becoming Hannah: A Personal Journey yang telah pun dicetak semula sebanyak 18 kali sejak 2014.
Tiga tema dominan muncul daripada kajian kami, yang kelihatan selari dengan ucapan PM Anwar bahawa Malaysia “tidak akan mengiktiraf sekularisme, komunisme, LGBT.“:
1. Meningkatnya pertembungan etnoagama:
Dengan penglibatan pelaku dan entiti bukan-negara yang semakin menonjol, wajar diperhatikan bagaimana orang ramai dan masyarakat sivil menyusun strategi dalam memperhebat penggunaan aduan dan seruan boikot sebagai kaedah penapisan partisipatori yang semakin berkembang. Nuansa sedemikian boleh dirincikan melalui beberapa kes yang bersilih ganti, terutama melibatkan kontroversi berasaskan reka bentuk seperti kes stokin dengan tulisan Allah pada bulan Mac, reka bentuk tapak kasut Vern’s sehinggalah imej Kaabah di atas tikar; kedua-duanya berlaku pada bulan April berikutnya, yang didorong oleh meningkatnya kepekaan masyarakat umum terhadap tanggapan bahawa wujudnya golongan ‘sekularis’ yang tidak menghormati simbol agama. Dalam ketiga-tiga kes ini, kita dapat memerhati bagaimana pelaku dan entiti berasaskan negara, seperti agensi penguatkuasaan, kelompok berasaskan keagamaan serta pihak berkuasa yang tidak berkait terus dengan seni budaya, terlibat secara langsung dalam proses rampasan dan penyiasatan. Kontroversi ini juga memanas – beberapa kes serangan bom petrol ke kedai KK Mart telah dilaporkan seiring meningkatnya sentimen etnosentrik yang berleluasa secara dalam talian.
Di bawah kategori ‘Warisan, adat resam, amalan budaya’, kita juga boleh melihat wujud tafsiran budaya sehala / sempit (one dimensional interpretation) oleh masyarakat di Malaysia sekaligus mengakibatkan pelbagai kes pelanggaran budaya. Ia melibatkan kes seperti hidangan berasaskan daging babi yang digandingkan dengan masakan tradisional, arahan larangan kepada para pelajar berkenaan pemakaian busana tradisional etnik dan budaya lain selain daripada etnik dan budaya mereka sendiri semasa sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, serta larangan berkumandangnya dua lagu tradisional Tamil semasa acara. Ia sekaligus menonjolkan seperti apa perebutan dan bagaimana ‘budaya kebangsaan’ dipergunakan.
2. Mengendalikan Amnesia Sejarah:
Dengan tema berkaitan ‘Agama, Moral dan Tradisi’ mencatatkan jumlah tertinggi pada 33 kes, adalah penting untuk menyoroti bahawa sejumlah besar kes mensasarkan kepada bahan atau acara yang dikaitkan dengan nuansa LGBTQ+. Antaranya, melibatkan pengharaman dan rampasan jam tangan Swatch’s Pride Collection, pembatalan penuh Festival Good Vibes selepas kekecohan yang melibatkan penyanyi The 1975 Matt Healy yang menyampaikan kritikan terhadap undang-undang anti-LGBT Malaysia, persembahan melibatkan penghibur lelaki yang ‘silang pakaian’ (crossdressing) serta pengharaman penerbitan dengan tema inklusif. Dalam perkembangan sama, video muzik terbitan usahawan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman turut mencetuskan beberapa siri kontroversi. Walaupun beliau secara jelas menyebut video muziknya bertujuan sebagai gurauan bersempena April Fool dan meraikan Aidilfitri, penglibatan penari lelaki yang ditanggapi tidak senonoh memakai spandex jumpsuits yang digayakan dengan pakaian tradisional Melayu tidak dapat mengelak daripada dirinya terpalit kontroversi. Rentetan peristiwa yang berlaku mencerminkan tindakan tegas oleh pihak berkuasa yang cenderung mengikut suasana dan keperluan politik semasa, yang sering diabsahkan dengan alasan bagi “memelihara nilai-nilai Islam” serta “melindungi moral dan nilai masyarakat awam.”
3. Mengendalikan Amnesia Sejarah:
Ketika Malaysia terus bergelut untuk menerima keberadaan sejarahnya yang rencam, terutamanya yang berkaitan tema yang dianggap berhaluan kiri atau sosialis, mana-mana hasil dan proses seni budaya yang berada di bawah kategori “komunisme” yang samar-samar menjadi sasaran berulang yang ketara sedari dua tahun lalu.
Disutradari oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad, Pagari Bulan ialah sebuah filem fiksyen sejarah yang menggambarkan perang anti-fasis menentang kuasa empayar Jepun. Filem itu menerima arahan pemotongan babak daripada Lembaga Penapis Filem kerana dianggap sebagai “menggalakkan fahaman komunisme.” Satu kes lain yang patut diberi perhatian adalah penyasaran berulang kali terhadap kedai buku seperti Gerakbudaya. Pada tahun 2023, Kementerian Dalam Negeri merampas 8 penerbitan berbahasa Cina dari kedai buku mandiri itu yang berpengkalan di Petaling Jaya, dengan menyebut dakwaan bahawa terbitannya mengandungi “unsur komunis”. Aktivis sosial dan penulis Benz Ali (pengasas kedai buku bebas, Toko Buku Rakyat) juga berdepan risiko undang-undang akibat reputasinya yang kontroversi serta politik berhaluan kiri yang dipeganginya. Antologi puisinya, Koleksi Puisi Masturbasi telah dirampas semasa serbuan di kedai bukunya dan baru-baru ini diharamkan pada 2025. Selain itu, perbincangan buku yang dijadualkan berlaku di sebuah universiti turut dibatalkan tanpa penjelasan. Kedai buku independen juga semakin biasa dikunjungi serta koleksi mereka turut disaring oleh pegawai KDN – seperti yang berlaku kepada Balai Ilham dan penjual buku, Abdul Latip.
Kes-kes yang ada mendedahkan bagaimana mereka yang berani berkarya tanpa rasa takut atau pilih kasih di Malaysia terpaksa berdepan risiko tinggi. Ugutan melibatkan doxxing dalam talian, dikeluarkan karya mereka daripada platform penstriman dalam talian hingga ancaman bunuh telah dihadapi oleh komuniti seni budaya sejak dua tahun lalu.
Begitulah risiko yang dihadapi krew Mentega Terbang, sebuah filem arahan Khairi Anwar Jailani dan penulis skrip, Arjun Thanaraju. Dianggap kontroversi oleh sesetengah pihak kerana mempersoalkan tradisi agama yang pelbagai, filem itu didakwa “sengaja melukai perasaan agama orang lain” di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan kemudian diisytiharkan haram secara rasmi pada September 2023.
Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam industri perfileman Malaysia, ia tidak menghalang filem-filem yang mendapat pengiktirafan kritikal seperti filem arahan Amanda Nell Eu, ‘Tiger Stripes’ (filem yang memenangi anugerah di Cannes Critics’ Week), serta ‘Maryam Pagi ke Malam’ karya Badrul Hisham daripada menghadapi pemotongan banyak babak serta pembatalan tayangan filem di dalam negara.
Paling utama, proses pengkaryaan berunsurkan kritik sosial dan politik, sama ada dalam bentuk sindiran visual untuk mengkritik budaya rasuah atau pameran berkaitan kematian dalam tahanan, turut terkesan secara langsung dalam dua tahun ini akibat penggunaan pelbagai bentuk perundangan, serta kuasa sewenang-wenangnya yang dipegang oleh pihak berkuasa, sekaligus mewujudkan kegusaran kepada mereka yang aktif di dalam sektor seni budaya.
“Semua orang buat bising”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin takjub dengan retoriknya sendiri saatnya beliau mengisytiharkan bahawa kerajaannya “tidak akan mengiktiraf sekularisme, komunisme, LGBT.” Apa lagi, sejak dua tahun lalu, segala-galanya seakan boleh ditapis leluasa. Bermula dengan catatan Facebook yang berbaur perkauman oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohammad yang sekaligus mengakibatkan pegawai penguat kuasa tempatan untuk mengalihkan papan tanda bahasa Cina di Kuala Lumpur sehinggalah kepada pemakaian busana tradisional semasa sambutan Hari Kemerdekaan, cara seni dan budaya dikawal nampaknya menjadi ruang yang ‘sesak’ dengan semua orang terlibat untuk membuat hingar. Sama ada ia datang daripada pelaku dan entiti negara atau bukan-negara, penapisan cenderung terjadi melibatkan pelbagai bentuk dan arah; ia tidak lagi berlaku dari atas ke bawah semata-mata, tetapi juga dari bawah ke atas, dengan perundangan digunakan oleh pihak berkuasa menjadi semakin meluas dan kabur.
Pelbagai institusi dan segmen dalam masyarakat yang saling bertautan menjadi aktif. Satu kes sedemikian ialah pengemukaan saman yang tidak pernah berlaku sebelum ini melibatkan mahkamah Anak Negeri Keningau dalam mendapatkan pampasan daripada pereka grafik Fahmi Reza, yang dituduh menghina Musa Aman, gabenor baharu Sabah, dalam karikatur anti-rasuahnya. Selain itu, sentimen etnoagama juga telah membuktikan kekuatan mobilisasi dalam talian, sebagai taktik strategik untuk memperkukuh tuntutan berbentuk populis dan etnosentrik. Pihak berkuasa, dalam waspada meniti keadaan politik yang tidak menentu, menjadi lebih berhati-hati kerana perlu mengambil kira jangkaan masyarakat umum bagi mewujudkan reformasi serta tekanan dalam mengemudi ranah politik dibentuk oleh persoalan etnoagama yang sensitif serta meluasnya pengaruh demografi pengundi konservatif serta institusi yang menampungnya. Cadangan terkini oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk memperkenalkan polisi ‘kill switch’ bagi persembahan melibatkan artis asing serta pengenalan pelbagai garis panduan, seperti Buku Garis Panduan Persembahan Seni Budaya serta garis panduan Puspal mengenai konsert, membuktikan wujudnya kecenderungan sebegitu.
Walaupun sesetengah artis dan pengamal budaya akur akan tuntutan penapisan, ada juga di antara mereka menunjukkan penolakan yang jelas terhadap apa yang berlaku. Adalah penting untuk ditekankan bahawa bilangan kes yang agak tinggi (berjumlah 23 kes) menerima pernyataan sokongan oleh masyarakat awam dengan meluas. Terdapat juga beberapa kempen baru-baru ini yang cuba menonjolkan, mempermasalahkan dan mewujudkan kesedaran dan advokasi mengenai ancaman terhadap kebebasan berkarya, seperti kempen Bebaskan Filem oleh Freedom Film Network, perbincangan mengenai peranan penerbit bebas dalam mencabar penapisan, serta kempen solidariti berbentuk kreatif seperti sebaran antologi #SemangkukMentegaTerbang terbitan Matahari Books dan penyebaran terbuka antologi puisi Benz Ali oleh dirinya sendiri.
Jalan perundangan kekal menjadi pilihan walaupun ia boleh menjadi proses yang panjang dan berliku. Sehubungan itu, adalah mustahak untuk kita mengetengahkan tiga cabaran lewat jalur hukum oleh beberapa artis dan pengkarya sejak dua tahun lalu – yang keputusannya bercampur-baur: Cheeming Boey dengan karya When I Was A Kid 3 yang berjaya membatalkan larangannya, rampasan haram jam tangan Pride oleh Swatch yang diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah serta kegagalan semakan kehakiman melibatkan filem Mentega Terbang.
(Read the report in english here.)

Zikri Rahman
Zikri Rahman has consistently embarked on collaborations with diverse arts, cultural and activist groups in various socio-political projects. Currently, Zikri is currently a Researcher for Malaysia, Arts Equator’s Southeast Asian Arts Censorship Database. He is also affiliated with Pusat Sejarah Rakyat, an independent archival research and documentation focusing on Malaysia and Singapore’s people’s history. Through Buku Jalanan; a rhizomatic network of street library movement he co-founded in the year 2011, it focuses on decentralizing and democratising the modes of knowledge and cultural production. With LiteraCity, he initiated Kuala Lumpur’s literary and cultural mapping project. Zikri is also a writer, translator, independent researcher and curator with an MA in Social Research and Cultural Studies from National Yang Ming Chiao Tung University, Taiwan. Through multiple projects and selected publications, he dwells into oral history of Malaysia’s protest movements, critical pedagogy, art and cultural movement / intervention, regional based censorship documentation to the networks of theater practitioners in the inter-Asian context.
- Zikri Rahman#molongui-disabled-link
- Zikri Rahman#molongui-disabled-link
- Zikri Rahman#molongui-disabled-link
- Zikri Rahman#molongui-disabled-link
Similar Reads


